Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam yang telah menurunkan nikmat-Nya yang melimpah ruah. Selawat juga salam ke atas junjungan kita dan seafdhal-afdhal ciptaan-Nya, Rasulullah (s.a.w), seluruh ahli keluarga baginda, para sahabat dan pengikut mereka sehingga hari kiamat.
Sarawak kini sangat ketandusan para ilmuan islam, ulama dan pendakwah. Masih banyak lagi kawasan di sekitar negeri Sarawak yang belum menerima sentuhan dakwah dan juga tindakan susulan dakwah. Menyedari akan peri wajibnya tuntutan dakwah pada bahu setiap individu islam yang bergelar muslim, maka kami merasa terpanggil untuk merangka tindakan dengan harapan semoga lompang kekosongan ini dapat diisi dengan keindahan dan kesucian islam itu sendiri, selain agar lebih ramai lagi insan yang menyahut seruan tauhid kekasih junjungan dan datuk kita, Rasulullah (s.a.w) agar sama-sama dapat bernaung di bawah panji baginda kelak di hari akhirat.
Syukur ke hadrat Allah, atas tuntutan ini, Madrasah Al-Khairat telah ditubuhkan pada tahun 1989 yang pada awalnya terletak di Jalan Bunga Ros, Kampung Pinang Jawa, Kuching, Sarawak. Madrasah Al-Khairat telah diasaskan oleh Mudir (Pengetua) Madrasah, iaitu Habib Mohamad bin Alwi Al-Attas. Pada awal penubuhannya, pengajian di madrasah hanya tertumpu di kawasan kediaman mudir Madrasah sendiri, dengan menggunakan sistem pengajian ala pesantren (pondok) di Indonesia.
Pada ketika itu, pihak madrasah juga ada menyediakan kemudahan asrama kepada para penuntutnya, di mana asramanya adalah di dalam kediaman mudir madrasah sendiri. Antara penuntut awal di Madrasah Al-Khairat yang mengikuti pengajian adalah terdiri daripada kaum bumiputera dan saudara-saudara baru yang masuk islam. Antara penggerak Madrasah yang turut sama membantu mengajar pada ketika itu adalah Habib Mustofa dan Ustaz Rafie yang kedua-duanya berasal daripada Indonesia.
Seterusnya pada tahun 2006, Madrasah Al-Khairat telah berpindah ke Jalan Bunga Champaka, Kampung Pinang Jawa, Kuching, Sarawak, dan telah mempunyai lot bangunan tersendiri untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran, namun pada hari-hari yang tertentu, sesi pengajian masih dijalankan di kawasan kediaman mudir Madrasah yang baru.